‘Memandangkan’ sebagai kata hubung dalam bahasa Melayu berdasarkan perspektif nahu preskriptif dan deskriptif
(‘Memandangkan’ as conjunction in Malay language from a prescriptive and descriptive grammar perspective)
DOI:
https://doi.org/10.32890/rentas2024.3.7Abstract
Kata hubung dalam bahasa Melayu merupakan jenis kata yang sudah mantap dari segi bentuk dan fungsinya dalam ayat. Sebagai subjenis kata tugas, kata hubung tidak mendukung makna dan tidak boleh menjadi inti bagi frasa endosentrik juga. Kata hubung hanya mendukung fungsi atau tugas dalam binaan sintaksis, iaitu sebagai penghubung frasa atau klausa dan membentuk ayat yang berlapis. Walaupun bilangan dan bentuk kata hubung ini sudah mantap (dengan merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi ketiga, 2010), namun, terdapat golongan kata lain yang secara jelas digunakan dengan meluas sebagai kata hubung dalam ayat oleh penutur Bahasa Melayu. Hal ini ternyata menimbulkan persoalan dan memerlukan penjelasan yang bersifat empiris dan objektif bagi mengelakkan kekeliruan pada golongan pelajar khususnya dan pengguna bahasa amnya. Oleh itu, dengan menggunakan korpus yang dijana daripada pangkalan data korpus Dewan Bahasa dan Pustaka, makalah ini membincangkan dengan lebih lanjut bentuk kata ‘memandangkan’ yang digunakan sebagai penghubung dalam ayat oleh penutur bahasa Melayu bagi membentuk ayat majmuk keterangan. Dengan menggunakan pendekatan nahu preskriptif dan deskriptif, penggunaan kata ‘memandangkan’ sebagai penghubung dalam ayat diharapkan dapat dijelaskan dengan munasabah dan berpada. Satu keputusan perlu dibuat bagi menetapkan kata ‘memandangkan’ sebagai jenis kata hubung tambahan atau sebaliknya berasaskan data korpus yang diperoleh kerana dapatan ini akan memberikan implikasi yang besar terhadap pengajaran dan pembelajaran kata hubung di sekolah dan dalam konteks penggunaan oleh orang awam juga.






